The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Wajah Bola Selangor: Aslam Najmudeen

Feb 18, 2020 - FAS

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

----------------

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

Nama saya Mohamed Aslam B Haja Najumudeen.

Saya merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik dan saya kini berumur 37 tahun. 

Saya lahir pada 12 Mac 1983 di Klang. 

Saya kini menetap dan membesar di Pelabuhan Klang. 

Saya bersekolah rendah di Sekolah Rendah Pelabuhan Klang dan sekolah menengah di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Jemaah.

Kini saya sudah berkahwin pada empat tahun yang lalu sewaktu saya berumur 33 tahun dan kini mempunyai seorang anak berumur 11 bulan. 

Nama isteri saya Fazilah binti Mohd Sali dan anak saya Mohammad Alif. 

Di Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), saya mengisi jawatan selaku pembantu jurulatih kedua Selangor 2 yang kini dikendalikan oleh Michael Feichtenbeiner sebagai ketua jurulatih. 

Rutin harian saya adalah datang sejam awal sebelum sesi latihan untuk mengadakan perjumpaan bersama semua jurulatih untuk membincangkan latihan yang akan diterapkan untuk sesi tersebut. 

Jadi sewaktu perjumpaan itu kita akan tetapkan program apa yang kita akan adakan, rutin apa yang kita akan jalankan dan pelbagai lagi demi mempersiapkan pasukan bagi mengharungi liga. 

Selepas tamat perbincangan, saya akan terus ke padang untuk mempersiapkan barangan dan menyusun kesemua rutin mengikut perbincangan yang telah dipersetujui sebentar tadi. 

Sekiranya sesi latihan pada esok pagi bermula jam 8 pagi, maka kami kesemua jurulatih akan berbincang pada malam sebelumnya untuk persediaan yang lebih awal. 

Bersama Selangor, saya memulakan karier saya pada tahun 2018 di mana pada ketika itu saya hadir untuk menjadi pembantu ketua jurulatih pasukan belia. 

Pada tahun seterusnya saya masih lagi kekal bersama skuad belia Selangor dan syukur ke hadrat ilahi, pada tahun 2020 saya dinaikkan pangkat menjadi pembantu ketua jurulatih pasukan Selangor 2. 

Terus terang saya katakan bahawa cabaran dan juga tuntutan sewaktu berada bersama pasukan belia dan Selangor 2 ini berbeza. 

Bermain di Liga Perdana dan menggunakan hampir semua pemain yang berumur bawah 23 tahun dan hanya seorang pemain import merupakan satu cabaran yang besar. 

Tuntutan bersama pasukan Selangor II ini lebih besar kerana kita boleh lihat daripada segi intensiti, latihan dan juga saingan, kesemuanya berbeza. 

Selain itu, daripada segi mental juga agak sukar kerana kami perlu memastikan pemain-pemain muda ini matang dan perlu memastikan mereka berfikir seperti pemain senior dan bukannya junior.

Namun bagi saya, ianya merupakan satu pembelajaran yang baru dan saya bersyukur kerana saya diberikan peluang untuk bersama pasukan ini.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ketua jurulatih pasukan Selangor, B. Satiananthan kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertai barisan kejurulatihan pasukan utama musim lalu. 

Saya diberikan peluang untuk membantu Coach Satia selepas kedua-dua pembantu beliau menjalani kursus kejurulatihan. 

Daripada pengalaman tersebut, saya mula mempersiapkan diri saya dan insyaAllah saya akan gunakan pengalaman tersebut dengan sebaiknya di Selangor 2.

Bercerita mengenai karier bola sepak saya pula, saya mula bermain bola pada tahun 2003 hingga tahun 2016. 

Minat saya terhadap bola ini begitu tinggi dan ianya berputik sejak saya berumur tujuh tahun lagi. 
Antara orang yang bertanggungjawab untuk memupuk dan juga menyokong karier bola sepak saya adalah abang saya. 

Beliaulah yang selalu membawa saya ke padang untuk bermain bola dan dari situ saya mula memperoleh kematangan bermain kerana saya masih lagi kecil tetapi rata-rata yang bermain adalah orang dewasa.

Walaupun ketika itu saya sekadar mengutip bola di belakang gol, tetapi ianya memberikan saya satu kelebihan di mana saya cepat mengenali dunia bola sepak. 

Antara memori bola sepak yang saya tak boleh lupakan adalah ketika saya berumur 14 tahun, saya mencubakan diri untuk menyertai sesi percubaan pasukan bawah 14 tahun Selangor. 

Saya berjaya ke peringkat akhir percubaan namun digugurkan pada saat akhir atas faktor berat badan saya. 

Jurulatih pada ketika itu berkata kepada saya yang saya mempunyai bakat yang beliau perlukan namun faktor berat menyebabkan saya tidak mampu untuk bertahan lama di dalam padang. 

Itu merupakan kejadian terbesar di dalam hidup saya dan memang benar apa yang jurulatih saya katakan. 

Namun selepas itu saya nekad untuk kuruskan badan saya, berlatih pada setiap hari dan hasilnya, pada tahun berikutnya, saya dipilih untuk bersama skuad bawah 15 Selangor sehinggalah skuad bawah 19 tahun. 

Memang benar rezeki sukar untuk diduga kerana sewaktu saya berumur 20 tahun, saya ditawarkan untuk bermain di Liga Perdana Malaysia bersama pasukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya FC (MPPJ FC).

Lebih manis, pada tahun tersebut, saya bersama pasukan MPPJ FC berjaya menjulang Piala Malaysia sebelum berhijrah ke pasukan UPB MyTeam pada tahun 2007 dan bermain selaku permain pertahanan.

Bersama UPB juga saya bermain selama tiga tahun dan kemudiannya berpindah bersama pasukan PKNS FC, ATM FA, Kuala Lumpur FA. 

Ketiga-tiga pasukan ini saya menetap selama setahun sahaja. 

Kemudiannya saya dipinjamkan ke pasukan Kelantan FA dan alhamdulillah saya berjaya menjuarai Piala Malaysia dan juga bermain di Piala AFC di Iraq.

Juga pada tahun yang sama kami berjaya meraih treble selepas menjuarai Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia. 

Selepas saya sudah berjaya menjuarai kesemua piala yang dipertandingkan, saya sudah berasa puas dan saya mula memikirkan untuk bersara dari bermain bola sepak. 

Namun saya masih lagi bermain dan bersama pasukan SPA Putrajaya sehingga tahun 2016 dan barulah saya betul-betul bersara. 

Selepas bersara, saya terus fokuskan diri saya terhadap bidang jurulatih dan alhamdulillah kini saya berdiri di sini. 

Akhir sekali, ingin saya nasihatkan kepada pemain-pemain muda yang kian meningkat ini, jagalah disiplin anda. 

Saya akui cabaran untuk menjadi pemain bola masa kini bukannya mudah, tidak seperti zaman saya dahulu. 

Jikalau dulu selepas tamat latihan, saya terus pulang ke rumah berehat dan pada malamnya saya tidur awal. 

Namun kini, dengan kemajuan teknologi yang sedia ada, agak sukar untuk pemain kini mengekalkan disiplin mereka. 

Dengan media sosial yang ada, dengan telefon pintar yang mana mereka bermain sehingga lewat malam, perkara ini yang akan mengganggu pemain-pemain ini. 

Jadi saya selaku jurulatih akan cuba untuk membantu pemain ini sehabis baik namun perlu diingatkan, mereka perlu membantu diri mereka sendiri terlebih dahulu. 


Coach Aslam
Seorang bapa, rakan sepasukan Badhri Radzi dan juga jurulatih penyayang.